Perkara yang paling utama disemat kemas-kemas di minda adalah, belajar itu menyeronokkan. Apabila
belajar itu aktiviti yang seronok, maka secara automatik, banyak masa
akan diperuntukkan untuk melakukannya. Sekaligus, anggota fizikal dan
rohani akan turut sama gembira sepanjang waktu belajar tersebut.
Niat
Sebelum
memulakan sesi belajar, niatlah di dalam hati belajar kerana Allah.
Malahan menimba ilmu adalah cabang perjalanan yang mesti dilalui oleh
setiap orang untuk mencapai apa jua yang diinginkan di dunia,
lebih-lebih lagi akhirat. Seperti kata Imam Asy-Syafie', "Jika kamu
inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu, jika kamu inginkan akhirat,
hendaklah dengan ilmu dan jika kamu inginkan kedua-duanya, maka
hendaklah dengan ilmu."
Ilmu
yang akan memandu kita nanti, dengan ilmu juga manusia itu dimuliakan.
Ilmulah yang akan menjaga kita, berbezanya ilmu dengan material dan
wang-ringgit yang menuntut kita menjaga mereka.
TEKNIK
Pelbagai
teknik belajar yang boleh digunakan mengikut keselesaan masing-masing.
Antara teknik yang dicadangkan dan dapat kami kumpulkan di sini adalah
daripada amalan adik Nur Amalina Che Bakri, pelajar terbaik SPM yang
mendapat 17A1 pada tahun 2005 dan Teknik 5R-STUV.
Tip Mengingati Formula & Fakta
- Buat nota ringkas
- Lukis peta minda apabila mengulangkaji atau mempelajari tajuk baru
- Wujudkan kata kunci
- Buat banyak latihan berhubung sesuatu formula hingga terbiasa
- Buat latih-tubi, lama-kelamaan mudah untuk mengingat.
- Ulangkaji di rumah secara berterusan (istiqomah).
Tip Menguatkan Ingatan
- Tumpu perhatian sepenuhnya di dalam kelas.
- Berfikiran positif.
- Fikir perkara berfaedah saja
- Elak berfikir perkara yang memesong dan merosakkan minda.
- Elak makan makanan yang mengandungi banyak bahan kimia seperti makanan ringan dan makanan segera.
- Jangan minum minuman bergas.
Langkah Mengulangkaji Pelajaran
- Semak sekali-lalu bab yang hendak di ulangkaji.
- Baca tajuk besar terlebih dahulu.
- Kemudian, baca tajuk kecil.
- Teliti dan cuba fahami gambar, gambarajah, ilustrasi dan jadual yang tertera dalam bab tersebut.
- Apabila mendapat gambaran
tentang sesuatu tajuk, teliti isinya secara terperinci, tandakan
isi-isi penting dengan highlighter di buku teks atau boleh juga
dibuat peta minda dalam buku nota khas.
- Cari atau reka sendiri kata-kunci.
- Pada masa yang sama, cuba mengingat apa yang dibaca.
- Ulangkaji awal ,jangan tunggu sehingga saat terakhir sebelum peperiksaan.
SESI MELUAH KEMBALI
Poin
penting yang menceritakan sesuatu meklumat diluahkan semula ke atas
kertas. Di sinilah pentingnya setiap sesi pembelajaran, seorang pelajar
itu diminta untuk bersama dengan paling minima, 3 perkara ini; sebuah
buku, pen/pensil dan juga kertas. Kami ulangi, PALING MINIMA.
Ada beberapa teknik untuk meluahkan apa yang telah dibaca, antara yang boleh dipraktikkan adalah:
1.Peta Minda dan Warna-warni
Peta
minda ialah sejenis nota yang paling berkesan. Bina peta minda mengikut
 teknik yang diajarkan kepada anda supaya berkesan. Selalunya peta
minda dibina ketika anda belajar atau mengulangkaji untuk memahami
urutan, proses atau peristiwa.
Membina
peta minda mengelakkan anda daripada mengantuk. Gunakan warna atau
dakwat yang berlainan untuk menarik perhatian keika belajar. Ini akan
merangsangkan otak kanan untuk mengimbangi tugas otak kiri yang letih
mengingat.
Ketika
mengulangkaji pula, peta minda mempercepatkan proses mengulangkaji
 dengan berkesan kerana sifatnya yang ringkas, padat dan mengikut
turutan. Oleh itu, banyakkanlah menggunakan peta minda menjelang
peperiksaan.
2. Teknik 5R-STUV
1. Recopy [salin semula]
2. Rework all model 5x [buat semula contoh/cepat/5x]
3. Recite out loud repeatedly [lafaz kuat berulang kali]
4. Recheck [semak semula]
5. Reasonableness [jawapan berpatutan/sebaliknya]
6. S-sumarize [ringkaskan nota penting]
7. T-test your self [uji diri anda]
8. U-use [gunakan]
9. V-visualize [bayangkan selalu]
DEMI MASA
Hujung
minggu hendaklah digunakan untuk mengulangkaji dan menyelesaikan topik
yang dipelajari dalam masa seminggu yang berlalu. Pastikan mana topik
yang susah dan yang belum difahami supaya boleh bertanya kepada guru
apabila sekolah dibuka pada hari Isnin. Di samping itu, gunakan juga
masa hujung minggu untuk membaca topik yang akan dipelajari pada minggu
depan sepintas lalu.
Fungsi Ulangkaji
- Memantapkan ingatan
- Mengukuhkan kefahaman
- Menambahkan keyakinan
- Memberi latih tubi kepada minda
- Memenuhi aktiviti belajar dengan aktif
Kaedah Mengulangkaji Yang Berkesan
- Siapkan semua kerja rumah terlebih dahulu
- Buat kerja rumah dengan cepat dan jangan bermalas-malasan.
- Banyak buat latihan
- Ulangkaji apa yang telah diajar oleh guru pada hari yang sama.
- Ulangkaji secara berterusan supaya tidak mudah lupa.
- Guna masa prime time untuk ulangkaji mata-pelajaran yang susah.
- Gerak-kerja yang aktif dilakukan apabila letih belajar.
PENUTUP
Sebagai
penutup ingatlah tertib sebagai seorang penuntut ilmu dengan memulakan
sesi belajar dengan doa disertakan niat yang benar untuk belajar.
Kemudian, aturkan sasaran, cita-cita dan matlamat untuk dibawa ke mana
ilmu yang dipelajari. Oleh itu, rancangan atau pelan tindakan yang
khusus sepatutnya telah digarap untuk menuju ke arah matlamat yang
diinginkan. Orang sekarang duk kata, Plan your work, and work your
plan.
Sesungguhnya
seorang ilmuan yang cemerlang adalah seorang yang mempunyai akhlak yang
baik dalam mentaati, meyakini dan mencintai ilmu disertai dengan usaha
yang berterusan (istiqomah) dalam menuntut dan menyebarkan ilmu di jalan
Allah.
Wan Siti Farizan Mohamed Rani
Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, USIM
Tutor Akademi Infitah