Hari Valentine Haram Disambut Umat Islam. Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
“Roh
perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang
bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh
Islam,” inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun
yang lalu berkaitan Valentine Day.
“Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat
apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata Ketua
Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad
Sheikh Abdul Aziz.
“Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan
kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis
pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day pada Jumaat.
Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu
yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan
prinsip dan amalan agama Islam.
“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan
sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang
dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.
Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang
untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah
perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.
“Jika
kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan
hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.
Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.
Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.
“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati
orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari
segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim
dengan amalan maksiat,” katanya.
Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan
sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari
perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.
Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.
“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan
agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama
itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah,” jelasnya.
Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.
“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain.
Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak
ada masalah.
“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita
hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut
Hari Natal,” katanya.
Pelancaran Kempen Awasi Jerat Hari Valentine tersebut adalah untuk
mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan
sambutan Hari Kekasih Isnin ini.
“Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang
sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan
sehari untuk setahun. Ia adalah sepanjang hayat,” kata Wan Mohamad
SUMBER : facebook ustaz Don Daniyal (14.02.2013)