Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan
Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan
rezeki dan bukan mengurangkannya.
Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu
memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila
menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.
Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang
mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang
di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa
sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk
bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya
menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.
MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM
Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?
Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta.
Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu
amat luas meliputi rezeki yang rencam. Hakikatnya orang yang ‘memberi'
dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang
amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.
Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh
dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan
‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat
nyata sebagaimana yang pernah saya tuliskan petikan hadis Nabi Muhammad
dalam artikel saya sebelum ini . Bahawa mengajak orang kepada kebaikan
dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga,
membantu mereka yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan
menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah
pemberian amat bermakna.
Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah
amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu
:-
1) Ikhlas kerana Allah
2) Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.
Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran,
nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk
membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi
Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam
kehidupan dan harta.
Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di
ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti,
"apa balasannya di dunia"?.
Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang
bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa
yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH
atau berkat.
Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-
هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في
كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز
وجل.
Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara,
yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah
banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah
manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara
adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah
azza wa jalla.
Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat
tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun
masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di
dunia ini lagi.
WHAT YOU GET BACK?
Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'
Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu
diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di
dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi
sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai
dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang,
saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti
berikut :-
a. Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga
· Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar
yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.
· Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan
positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu
mendapat kenaikan gaji dan pangkat.
b. Kesihatan
· Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.
Nabi bersabda :
صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات
Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus
dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami :
sanadnya Hasan)
· Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di
dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu
diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN
BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu
membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah
fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab
untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh
harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah
kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA.
· Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.
c. Harta
· Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang
jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu
diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa
manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis
jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak,
rakus kuasa dan sebagainya.
· Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta
diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh
digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan
hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur
dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.
· Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini
walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama
tasauf sebagai Qana'ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada,
tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.
· Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh
lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah
dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran
yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.
· Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka.
Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20
tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut
di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu
dinar :
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ
لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ
اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan
mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang
tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah
niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah
melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah
mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3)
Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan
seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan
dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali
tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah
dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa
bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan
hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat
tersebut dan sebagainya.
Ibn Abbas menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar
dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian,
dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)
d. Sekeliling yang baik
· Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.
· Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya,
penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi:
إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق
للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح
الشر على يديه
Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan
penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi
kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang
dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah
mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih )
KESIMPULAN
MashaAllah, terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik
sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau
akhirat.
Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati' masing-masing.
Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allah ta'ala.
Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya.
Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya.
Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi.
Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas' dan dikuti berterusan
melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa' itu adalah cara pendapatan yang
terbaik baginya.
Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan
haram, skim haram, skim cepat kaya, money game, skim piramid wang, MLM
yang haram dan sebagainya, lalu berteriaklah beberapa orang yang tidak
berpuas hati seraya berkata :
"Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini...cuba ustaz duduk di
tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi
gaji sedikit. Itulah sahaja cara yang mudah untuk kami menambah
pendapatan"
Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam
perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI
HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda :
لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها
Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan
kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar
al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN
REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Riwayat
Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)
Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai
excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama
sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan
melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga.
Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka
وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum
Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan
(Al-A'raf : 96 )
PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE'
Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk
mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri,
bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas
an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi'en berkata :
من طلب العلم تكفل الله برزقه
Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139)
Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik
mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu
rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi
mengingatkan :-
لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً
Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan
diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada
burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam
keadaan kenyang.
Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam
hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu
bersangka baik kepada Allah.
Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.
Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:-
يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع
Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang
subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa
yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada
harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak)
tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak
kenyang" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net